Tuesday, December 22, 2009

KANSER TIROID

Pagi tanggal 11 Disember, saya menerima pesanan ringkas mengenai seorang bekas pelajar saya yang telah kembali ke Rahmatullah. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiuun....perempuan, usia masih muda belia, 18 tahun. Entah bila pula kita akan dijemput oleh Nya.

Saya dimaklumkan beliau mengidap kanser tiroid. Itu pun beliau tahu selepas membuat medical check-up untuk kemasukan ke pusat pengajian tinggi. Kanser peringkat keempat...kritikal.

Saya pernah dengar pasal kanser tiroid ni tapi tidak mengetahui secara terperinci tentang simptomnya, golongan yang biasa mendapat penyakit ini, cara mencegah atau merawatnya.

Untuk mengetahui lebih lanjut kanser tiroid, mari kita sama-sama baca keratan akhbar Utusan Malaysia. Semoga sedikit sebanyak kita memperoleh manfaat.

Tiroid biasa atau kanser?

Kanser tiroid merujuk kepada empat jenis tumor malignan pada kelenjar tiroid iaitu papilari, folikular, medulari atau anaplastik.

1-Kanser tiroid papilari dan 2-folikular :Merupakan jenis kanser tiroid paling lazim dijumpai berbanding jenis lain. Kedua-duanya bermula pada sel folikular pada tiroid. Kebanyakan kanser jenis ini tumbuh dengan perlahan tetapi jika dikesan lebih awal, ia mampu dirawat dengan jaya.

3-Kanser tiroid medulari :Terdiri daripada lima hingga 10 peratus kes kanser tiroid yang muncul dalam sel C tetapi ia lebih mudah dikawal jika dikesan dan dirawat sebelum merebak ke bahagian lain.

4-Kanser tiroid anaplastik :Jenis kanser tiroid yang paling kurang ditemui (hanya satu atau dua peratus) dan timbul dalam sel folikular. Sel kanser jenis ini amat luar biasa dan sukar dikenal pasti. Ia juga sukar dikawal berbanding sel kanser lain kerana biasanya tumbuh serta merebak dengan pantas.

Nodul tiroid boleh menjadi sama ada tidak berbahaya (benign) atau berbahaya (malignan). Sel nodul tidak berbahaya, merebak ke organ lain dalam badan mahupun mengancam nyawa. Kira-kira 90 peratus nodul tiroid adalah tidak berbahaya.

Namun nodul malignan bersifat kanser. Ia lebih serius dan kadangkala boleh meragut nyawa. Sel kanser boleh menceroboh, merosakkan tisu, organ dalam badan dan memasuki saluran darah atau sistem limfa.

Menerusi cara inilah kanser disebarkan daripada sel asalnya (tumor utama) untuk membentuk tumor baru dalam organ lain. Penyebaran kanser ini dipanggil metastasis.

Sekiranya metastasis berlaku di luar tiroid, sel kanser biasa ditemui pada nodus limfa berhampiran, urat saraf atau pembuluh darah. Apabila kanser sampai di nodus berkenaan, sel kanser mungkin juga telah merebak ke nodus limfa atau organ lain seperti paru-paru dan tulang.

Simptom
Peringkat awal kanser tiroid lazimnya tidak menimbulkan sebarang simptom namun apabila kanser itu membesar, beberapa tanda yang boleh dilihat adalah;
1-Benjol atau bintil di depan leher atau berhampiran halkum.
2-Suara menjadi parau dan sukar bercakap dalam nada normal.
3-Nodus limfa bengkak terutama di leher.
4-Sukar menelan atau bernafas
5-Sakit pada tekak atau leher.
Bagaimanapun simptom berkenaan tidak menjamin wujudnya kanser tiroid sebaliknya keadaan di atas boleh dicetuskan akibat jangkitan goiter tidak berbahaya atau masalah lain.Sesiapa yang mempunyai tanda-tanda tersebut dinasihatkan berjumpa doktor secepat mungkin kerana doktor sahaja yang mampu mendiagnosis dan merawatnya.

Diagnosis
Sekiranya pesakit menghidap simptom yang mencadangkan kewujudan sel kanser tiroid, doktor mungkin menjalankan pemeriksaan fizikal dan bertanya mengenai sejarah perubatan diri dan keluarganya.Doktor yang merawat itu boleh menjalankan ujian makmal dan pengimejan untuk menghasilkan gambaran tiroid serta kelenjar lain.

1-Pemeriksaan fizikal
Sebelum itu, doktor akan merasa tengkuk, tiroid, peti suara dan nodus limfa untuk memeriksa sebarang ketumbuhan atau bengkak.
2-Ujian darah
Doktor mungkin menguji darah pesakit untuk sebarang keluarbiasaan paras hormon rangsangan tiroid (TSH) dalam darah.TSH terdiri daripada kelenjar pituitari dalam otak dan mampu merangsang pelepasan hormon tiroid serta mengawal kepantasan pertumbuhan sel folikular tiroid.
3-Ultrasonografi
Alat ultra bunyi menggunakan gelombang bunyi melantun pada tiroid dan komputer menggunakan gema untuk menghasilkan imej dipanggil sonogram.Dari gambar itu, doktor boleh mengenal pasti bilangan nodul, saiz dan adakah mendatangkan bahaya kepada pesakit.
4-Pengimbasan Radionuklida
Doktor mengarahkan pengimbangan perubatan nuklear yang menggunakan sedikit bahan radioaktif untuk menimbulkan imej nodul tiroid.
5-Biopsi
Pembuangan tisu untuk mencari sel kanser dipanggil biopsi. Ia boleh menunjukkan kanser, perubahan tisu yang boleh mengakibatkan kanser dan keadaan lain. Biopsi merupakan satu-satunya cara terbaik untuk mengesan sama ada nodul itu bersifat kanser atau tidak.

Monday, December 21, 2009

BEG KERTAS versus BEG PLASTIK


Cuti kali ini kami sekeluarga sempat berkunjung ke sebuah negeri di utara tanahair. Apa yang menarik hati saya, penggunaan beg kertas pada hari Isnin di sebuah supermarket terkemuka. Sama ada saya memang tak tahu atau ketinggalan zaman, supermarket ini telah lama mengamalkan beg kertas dan tidak menggunakan beg plastik untuk mengisi barang-barang yang telah dibeli oleh pelanggannya pada hari Isnin sahaja. Bak kata penjaga kaunter bayaran, "dah lama dah kami guna beg kertas ni, kak. Kalau akak nak beg plastik kena beli RM0.50". Tak berbaloi langsung satu beg plastik harganya sampai RM0.50. Walaupun dalam hati memprotes. Apa taknya, nak jaga anak lagi yang asyik berlari-lari dan nak pastikan barang-barang yang dibeli tak terburai keluar dari beg kertas (beg kertas dari kertas katalog yang mudah koyak). Alahai susahnya.......

Saya teringat penggunaan beg kertas secara berleluasa di negara barat. Di sana beg kertasnya berkualiti dan tidak mudah koyak. Penggunaannya juga meliputi setiap hari dan bukan hanya hari tertentu. Alasannya penggunaan beg kertas mesra alam dan boleh dikitar semula. Berbeza dengan negara kita, rata-rata kedai masih menggunakan beg plastik. Nak jumpa yang gunakan beg kertas satu dalam sejuta kot. Kalau nak harapkan pelanggan bawa beg kain sendiri memang lagi payah.

Apakah yang membimbangkan tentang plastik? Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, plastik merupakan bahan yang diperbuat dari sumber yang amat berharga - minyak. Sebenarnya lebih banyak plastik kita gunakan hari ini, berkuranglah bekalan minyak kita pada masa hadapan. Anda nak tahu, sewaktu beg plastik dihasilkan, satu bahan karsinogen, benzen, dihasilkan. Beg plastik tidak dapat lupus dari muka bumi. Kalau kita mengurangkan penggunaan beg-beg plastik dari sekarang, masih terdapat banyak lagi beg plastik yang sudah sedia terkumpul. Beg plastik sukar dihapuskan. Sekiranya dibakar, ia membebaskan karsinogen, satu bahan penyebab kanser. Sekiranya ditanam, bahan toksin di dalamnya boleh memasuki sumber air minum kita. Binatang yang menyangka beg plastik makanan boleh mati apabila makan beg plastik tersebut.

Bagi saya, usaha kecil dan murni supermarket ini wajar mendapat pujian. Walaupun mungkin tak sehebat di negara barat. Namun langkah ini secara tak langsung boleh mendidik pelanggan dan warga kerjanya cintakan alam sekitar. Walaupun kerajaan selalu warwarkan kempen cintai alam sekitar dan salah satunya melalui penggunaan beg kertas, sebenarnya masih ramai lagi tak ambil kisah dan memandang enteng tentang perkara ini. Cuma satu jer teguran saya, jurujual di sini kurang mesra rakyat. Masa saya tanya pasal beg kertas, muka masam jer dan tak senyum langsung. Belum lagi masa saya belek baju kanak-kanak. Tengok semacam jer. Macam saya ni takde duit pulak. Senyum la sikit. Teringat saya dengan sebuah lagu..."Senyum seindah suria, yang membawa cahaya, senyum la dari hati, duniamu berseri....."

Wednesday, December 2, 2009

LAIN TEMPAT, LAIN RAGAM

Saya dan suami telah dijemput menghadiri majlis berkhatan 2 minggu lepas. Apa yang mengkagumkan saya, sambutannnya sungguh meriah dan besar-besaran. Ala-ala majlis perkahwinan gitu. Kalau tidak silap saya, sebanyak 5 buah kanopi telah didirikan, siap dengan deejay dan alunan lagu berkumandang, makcik-makcik penanggah yang pakai sedondon, menu makanan yang pelbagai dari sate, nasi minyak, nasi putih, dadih, lauk-pauk (katering) dan paling menarik pemberian cenderahati kecil dari tuan rumah. Selepas salam keruk, kawan rapat dan saudara-mara menerima bungkusan jajan (makanan ringan seperti gula-gula) dalam bakul anyaman kertas surat khabar dan untuk yang lain bungkusan jajan dalam karung kain kecil. Besar budget tuan rumah ni. Tu cerita sambutan di sebuah taman.....dalam sebuah bandar
Apa pulak cerita sambutan majlis berkhatan di kampung? Saya teringat, 2 orang anak sepupu saya baru berkhatan beberapa hari sebelum raya korban. Sepupu saya sempat la menumbangkan seekor lembu untuk dijadikan korban dan buat kenduri doa selamat. Emmm...lebih bersifat sederhana.
Yang paling murah dan paling meriah....buat majlis berkhatan beramai-ramai di sesuatu tempat (yang macam dalam tv tu). Siap ada paluan kompang mengiringi anak-anak yang nak berkhatan, bapa-bapa pula dokong anak di bahu, abang-abang bomba siram air dan kemudian baru dikhatankan beramai-ramai. Tak cukup dengan tu, masak untuk majlis pun secara gotong-royong. Budget pun boleh kongsi, kadang-kadang dapat tajaan pihak tertentu. Tak untung gitu...
Untuk 2 anak lelaki saya, tak terfikir lagi nak sambut camne. Khatannya pun tak tau bila..mungkin bila dah besar sikit....Adik-adik saya siap umpan, kalau sunat boleh dapat duit banyak...apa-apa je la.