Saturday, November 28, 2009

MAMPUKAH KITA.......?


Petang Khamis lalu, saya terdengar seorang wanita menceritakan pengorbanan yang telah dilakukan dalam radio sinar. Kisahnya, dia telah berkahwin selama 18 tahun dan belum dikurniakan zuriat. Dek kesiankan si suami, dia telah merelakan suaminya berkahwin lagi dengan tujuan untuk memperolehi anak dari darah daging sendiri. Yang lebih menakjubkan, dia sendiri telah pergi meminangkan calon isteri untuk suaminya. Bukan sekali...tapi 3 kali. Kali pertama meminang, pinangannya telah ditolak. Alasannya calon isteri tidak sanggup hidup bermadu. Begitu juga pinangan kali kedua dan ketiga juga telah ditolak dengan alasan yang lebih kurang sama. Dalam sibuk mencari dan meminang calon isteri untuk si suami tadi, dia telah pun mengandung 5 bulan. Akhirnya, kisah jalan-jalan cari madu telah dihentikan.

Cuba renungkan....kalau kita berada di tempat wanita tadi, adakah kita akan sanggup berbuat perkara yang sama dengan rela dan ikhlas? Saya awal-awal jawab tak sanggup. Agaknya saya lebih sanggup ambil anak angkat dari mengizinkan suami saya berkahwin lagi. Hidup berkongsi kasih ni payah. Tahniah saya ucapkan kepada wanita yang sanggup hidup bermadu. Madu yang dapat hidup aman dan harmonis.

Sesungguhnya Allah s.w.t menguji hambaNya dengan perkara yang mampu ditanggung oleh seseorang hambaNya. Kesabaran wanita dalam cerita tadi, Allah s.w.t telah gantikan dengan sesuatu yang sangat bernilai harganya...seorang cahayamata.

Friday, November 27, 2009

RESEPI BUDGET RM10

Saya bukan pakar masak. Cuma nak berkongsi satu resepi yang saya dapat. Simple, berkhasiat dan sedap. Tak perlu minyak masak dan ajinamoto. Asam Pedas Ikan Merah namanya. Boleh guna ikan lain yang bersesuaian dengan masak asam pedas. Resepinya, mula-mula kisar halus 4 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih, 3 biji lada besar merah dan air asam jawa. Lepas tu, masukkan dalam periuk dan letakkan daun kesum, asam keping dan air. Masakkan atas api sehingga mendidih. Kemudian, ketukkan lengkuas dan masukkan dalam periuk bersama ikan. Apabila ikan separuh masak, masukkan 2 biji tomato yang telah dibelah 4, sayur seperti kacang bendi, terung dll. Apabila sayur telah masak, anda boleh hidangkan bersama nasi panas. Jangan lupa letak garam secukup rasa. Cuba jangan tak cuba.

SYURGA KAIN

Syurga kain...begitu sinonim dengan pekan Tangkak atau sekarang dikenali dengan Ledang.Pernah mendapat liputan dalam program Majalah 3 beberapa tahun yang lalu. Mengapa dipanggil syurga kain? Deretan kedai yang berada di pekan Tangkak kebanyakannya menjual pelbagai jenis fabrik dari yang mahal harganya sehingga yang paling murah. Sebut sahaja....kain ela, langsir, cadar, tudung, alas meja...anda takkan kecewa. Sesiapa yang datang bertandang ke situ, pastinya rambang mata memilih corak, warna dan jenis kain yang bersesuaian. Tambahan harganya amat berpatutan. Bayangkan kain chiffon yang biasanya mencecah harga hampir RM80, boleh ditawar harganya hampir separuh harga.
Semalam, saya berkesempatan berkunjung ke pekan ini. Tujuannya nak cari dua pasang kain ela dan dua helai kain pelekat. Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan bangunan-bangunan kedai masih mengekalkan bangunan sama. Kedai kain masih sama banyak bilangannya. Layanan tauke dan pekerja kedai kain masih sama ramah dan setia membantu pelanggan memilih kain. Cuma sambutan orang ramai mungkin tak sehangat dulu. Saya sampai dalam pukul 12:15 pm, jalanraya di sekitar pekan Tangkak masih lengang lagi.
Mungkin saya datang waktu orang nak raya haji...bukan raya puasa. Secara logiknya, siapa yang nak buat baju berpasang-pasang sempena raya korban ni. Kitar semula baju raya puasa. Agaknya la...Mungkin juga persaingan sengit dari gedung-gedung kain yang tumbuh macam cendawan.....Nagoya textile...Jakel..(harga kain dan pilihannya juga tak kurang hebat).
Apa-apa pun, Tangkak @ Ledang masih mempunyai kekuatan dan tarikan tersendiri.


Wednesday, November 25, 2009

HIDUP BERSYUKUR


Semalam, saya dan keluarga singgah di TESCO, Puchong untuk beli barang dapur yang dah nak habis. Sampai kat tempat letak kereta, nampak seorang lelaki sedang menyuakan bungkusan kerepek pada sebuah keluarga yang sedang sibuk memasukkan barang ke bonet kereta. Si bapa menggelengkan kepala, mungkin tanda tidak mahu membeli. Lelaki tersebut berlalu dengan hampa.

Gambaran yang saya boleh berikan mengenai lelaki tersebut: lelaki melayu dalam lingkungan awal 40-an, berkemeja dan berseluar lusuh, di bahunya tersandang satu beg plastik besar yang penuh dengan bungkusan kerepek,di tangannya ada dua bungkusan kerepek dan kedua kakinya capek. Saya beritahu suami, kalau lelaki tu datang menghampiri kami, saya minta suami saya layan. Saya ni jenis tidak sampai hati kalau tidak membeli.

Lega rasanya bila lelaki itu tak sempat menghampiri kami. Orang ramai masa tu..ye la baru pukul 9:30 malam. Kami pun beli la barang yang patut. Sekitar jam 10:15 malam, kami pun turun ke tempat letak kereta. Aik, dah lengang..kereta pun dah kurang...tapi lelaki yang jual kerepek itu masih setia berlegar-legar di situ. Apa lagi, bila nampak kami jer...terus dia suakan bungkusan kerepek tu...ops keropok la. Ada dua jenis keropok, ikan siakap dan parang. Keropok ikan siakap harganya RM18 dan ikan parang harganya RM17. Kalau beli dua RM30 jer. Yang peliknya, suami saya terus beli sebungkus keropok ikan siakap tanpa banyak soal. Bila saya tanya kenapa, dia tersenyum dan menjawab tak sampai hati kalau tak membeli. Kesian..

Pengajaran yang saya dapat dari lelaki tadi, saya selalu suka bandingkan diri saya dengan orang yang lebih dari saya. Rasa diri ni terlalu banyak kekurangan..sampai terlupa nak bersyukur dengan apa yang saya ada. Sepatutnya saya melihat orang yang lebih banyak kekurangan, nak cari sesuap nasi pun belum tentu dapat...supaya saya lebih mengerti apa itu erti SYUKUR. Terima kasih ya Allah kerana mengurniakan aku rezeki yang tak putus-putus. Walaupun tidak mewah, tapi tidak la sampai meminta-minta dengan orang lain. Jadikan kami sekeluarga hambamu yang tahu bersyukur.

Tuesday, November 24, 2009

CUTI SEKOLAH

Cuti sekolah datang lagi... selain anak-anak yang seronok..ibu bapa mungkin pening kepala memikirkan bagaimana nak manfaatkan cuti kali ini...6 minggu bercuti (lama tu).Macam-macam boleh buat. Hari pertama cuti, saya dan suami rancang nak pergi pameran agro kat Projek Pertanian Moden, Ayer Hitam, Kluang. Rasa macam tak berbaloi sangat (bagi saya la he..he) sebab banyak menjual produk hasil tanaman yang telah diproses macam kerepek, jus dll. Lain orang lain tujuan. Dah la tempat parking kecil. Kalau datang lambat, alamatnya parking kat bahu jalan besar(bahaya tu). Kereta saya yang dah menjangkau usia veteran tu, harap-harapnya takde la orang langgar. Dari deretan kereta yang bersidai di tepi jalan, rasanya sambutan amat menggalakkan. Ingatkan dapat bawa balik satu atau dua anak pokok. Sudahnya tak beli apa-apa. Jalan-jalan jamu mata jer. Saya berminat tengok anak pokok pisang berangan dan hasrat di hati ingatkan nak beli. Bila tanya harga sepokok berapa...sori la kak tak jual, sampel jer. Hampa betul. Jalan punya jalan, dapat la tengok sampel tanaman fertigasi (hajat di hati satu hari nanti nak buat). Kalau nak dibandingkan dengan MAHA 2008, jauh la beza. Pameran Agro ni berskala kecil dan lebih banyak dalam bentuk pameran. Apa pun, pameran pertanian ni bagus cuma tempat letak kereta kena rancang betul-betul. Harapnya pameran Agro 2010 lebih mantap lagi.